Pages

Jom Klik:Tawaran Hebat

Monday, May 9, 2011

Yayasan Sultan Kelantan

Hari ini nak kongsi sesuatu yang menarik tentang Yayasan Sultan Kelantan. Baru-baru ini Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah berkenan berangkat melancarkan Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim pada Majlis Pelancaran dan Santapan Malam Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran dan santapan ini merupakan titik permulaan rasmi mengumpul dana bagi yayasan melaksanakan kerja-kerja berteraskan keagamaan, kebajikan dan pendidikan dengan lebih berkesan.

Yayasan Sultan Kelantan mensasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM5 juta hingga RM6 juta. Pada majlis tersebut, Yayasan menerima kutipan sumbangan berjumlah sebanyak RM4.28 juta daripada pelbagai pihak antaranya dari sektor korporat.
Pada majlis sama, Sultan Muhammad V turut berkenan merasmikan laman sesawang Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim ini.

Turut hadir, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra dan Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim.

Hadir bersama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussien.

Penubuhan yayasan yang lahir dari ilham Sultan Muhammad V sekitar Jun 2010 ini menjadi salah satu penggerak utama bagi melaksanakan kerja-kerja amal sama ada di negeri Kelantan mahupun di luar Kelantan.

Di antara lainnya penubuhan Yayasan ini adalah bertujuan bagi memberi penekanan kepada aspek-aspek yang berteraskan agama, kebajikan dan pendidikan sebagaimana berikut:-
  • Agama
I. Memberi bantuan kewangan atau biasiswa bagi tujuan pendidikan agama kepada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Darulnaim menurut syarat-syarat dan kelayakan-kelayakan yang boleh ditetapkan oleh Yayasan dari semasa ke semasa.

II. Memberi bantuan kewangan kepada individu, pertubuhan atau badan bukan Kerajaan yang menjalankan gerakan dakwah atau usaha untuk meninggikan syiar Islam dengan syarat individu, pertubuhan atau badan bukan Kerajaan itu telah mendapat kebenaran Kerajaan untuk menjalankan gerakan dan usaha gerakan atau usaha itu adalah untuk kebaikan serta memberi faedah kepada Negeri Kelantan Darulnaim atau Negara.

III. Memberi bantuan bagi pembinaan, pengurusan atau pemulihan Sekolah-Sekolah Agama, Masjid-Masjid dan Madrasah-Madrasah yang diusahakan oleh mana-mana individu atau pertubuhan atau badan bukan Kerajaan.
  • Kebajikan
I. Mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Darulnaim dengan mengadakan skim bantuan kepada orang miskin, orang cacat serta orang-orang yang tidak bernasib baik atau ditimpa bencana alam atau musibah.
  • Pendidikan
I. Memberi sumbangan derma kepada pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan dari segi bayaran yuran sekolah, buku, alat projek, pakaian seragam sekolah, kenderaan, yuran peperiksaan dan elaun tanggungan menurut syarat-syarat dan kelayakan yang boleh dikenakan oleh Yayasan dari masa ke semasa. Bantuan itu tidak terhad kepada mana-mana peringkat pengajian bergantung kepada budi bicara Yayasan.

II. Memberi bantuan kepada mana-mana institusi pengajian tinggi di Negeri Kelantan atau mana-mana institusi pengajian dalam Negara bagi menjalankan usaha penyelidikan dan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi, sosial, kemajuan saintifik, teknologi dan kemasyarakatan.

*Untuk Maklumat lanjut boleh layari: Yayasan Sultan Kelantan
*Bertuah sungguh rakyat kelantan mempunyai kepimpinan yang macam ini.......****

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...