Pages

Jom Klik:Tawaran Hebat

Sunday, April 17, 2011

Jom Kenali: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (secara ringkasnya, SC). 
Ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1993.

SC merupakan badan berkanun biaya kendiri dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan. SC melapor kepada Menteri Kewangan dan akaunnya dibentangkan di Parlimen secara tahunan. SC mempunyai banyak fungsi pengawalseliaan termasuk:
  • Mengawal selia bursa-bursa, rumah-rumah penjelasan dan depositori pusat.
  • Mendaftarkan prospektus syarikat selain daripada kelab-kelab rekreasi tidak tersenarai.
  • Meluluskan terbitan bon.
  • Mengawal selia semua perkara yang berhubung kait dengan sekuriti dan kontrak niaga hadapan.
  • Mengawal selia pengambilalihan dan percantuman syarikat-syarikat.
  • Mengawal selia semua perkara yang berkaitan dengan skim unit amanah.
  • Melesenkan dan mengawasi semua individu yang berlesen.
  • Menggalakkan kawal selia sendiri.
  • Memastikan perilaku yang betul di kalangan institusi pasaran dan individu berlesen.
Melaksanakan semua fungsi ini merupakan tanggungjawab besar SC dalam melindungi pelabur. Selain daripada melaksanakan fungsi kawal selia, SC juga bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk menggalakkan dan mempromosikan pembangunan sekuriti dan niaga hadapan di Malaysia.

MISI
Untuk mempromosikan dan mengekalkan sekuriti dan pasaran hadapan yang adil, cekap, selamat dan telus bagi menyediakan pasaran kewangan yang berinovatif dan berdaya saing.

Dalam mengklasifikasikan sekuriti ini, MPS menerima input dan sokongan daripada SC. Pihak SC mengumpulkan maklumat syarikat melalui pelbagai sumber seperti laporan kewangan tahunan syarikat, maklum balas kepada borang kaji selidik yang dikeluarkan untuk mendapatkan maklumat terperinci dan juga melalui pertanyaan yang dibuat kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan. SC melalui MPS akan sentiasa mengawasi aktiviti semua syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia untuk menentukan statusnya daripada perspektif Syariah.

MPS telah menggunakan beberapa kriteria tertentu iaitu kajian ditumpukan kepada aktiviti sesebuah syarikat yang sekuritinya tersenarai di Bursa Malaysia. Oleh yang demikian, tertakluk kepada beberapa syarat yang telah ditetapkan, syarikat yang menjalankan aktiviti selaras dengan prinsip Syariah akan diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah. Sebaliknya, sesebuah syarikat diklasifikasikan sebagai sekuriti yang tidak patuh Syariah sekiranya syarikat menjalankan aktiviti teras yang tidak selaras dengan Syariah seperti yang berikut:

(a) Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah).
(b) Perjudian dan pertaruhan.
(c) Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan.
(d) Insurans konvensional.
(e) Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan Syariah.
(f) Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan.
(g) Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh Syariah.
(h) Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan Syariah.

MPS juga mengambil kira tahap sumbangan daripada pendapatan faedah yang diperoleh syarikat hasil daripada simpanan tetap konvensional atau instrumen kewangan konvensional yang lain. Selain itu, dividen yang diterima daripada pelaburan dalam sekuriti tidak patuh Syariah juga diambil kira dalam kajian yang dijalankan oleh MPS.

Bagi syarikat yang menjalankan aktiviti bercampur di antara aktiviti yang selaras dan tidak selaras dengan Syariah, MPS mempertimbangkan dua kriteria tambahan iaitu:

(a) pandangan masyarakat umum tentang imej syarikat berkenaan mestilah baik.

(b) aktiviti teras syarikat mempunyai kepentingan dan maslahah (kebaikan secara umum) kepada umat Islam dan negara manakala unsur yang tidak selaras dengan Syariah adalah amat kecil dan melibatkan perkara ‘umum balwa (perkara terlarang yang sukar dielakkan), ‘uruf (amalan kebiasaan) dan hak-hak masyarakat bukan Islam yang diperakui oleh Islam.

Untuk penentuan percampuran sumbangan yang dibolehkan daripada aktiviti yang selaras dan tidak selaras dengan Syariah kepada perolehan dan keuntungan sebelum cukai sesebuah syarikat, MPS telah menetapkan beberapa tanda aras tertentu mengikut ijtihad (proses mengeluarkan pendapat daripada sumber Syariah oleh ulama’ yang layak). Sekiranya sumbangan daripada aktiviti yang tidak selaras melebihi tanda aras yang telah ditetapkan, maka sekuriti syarikat tersebut akan diklasifikasikan sebagai sekuriti tidak patuh Syariah. Tanda aras tersebut adalah seperti yang berikut:

a. Tanda aras lima peratus
Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang jelas keharamannya (tidak selaras dengan Syariah) seperti riba (syarikat berasaskan faedah seperti bank konvensional), judi, minuman keras dan daging babi.

b. Tanda aras 10 peratus
Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang melibatkan unsur “umum balwa” iaitu perkara terlarang yang melibatkan kebanyakan orang dan sukar untuk dielakkan. Contoh sumbangan tersebut adalah pendapatan faedah daripada simpanan tetap dalam bank konvensional. Tanda aras ini juga digunakan bagi aktiviti yang melibatkan tembakau.

c. Tanda aras 20 peratus
Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan terima sewaan daripada aktiviti tidak patuh Syariah seperti terima sewaan premis yang menjalankan aktiviti perjudian, jualan arak dan sebagainya.

d. Tanda aras 25 peratus
Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang secara umumnya selaras dengan Syariah dan mempunyai maslahah kepada masyarakat awam, namun terdapat unsur lain yang boleh menjejaskan status Syariah aktiviti berkenaan. Antara aktiviti yang mempunyai tanda aras ini ialah aktiviti pengoperasian hotel dan pusat eranginan, perniagaan saham, pembrokeran dan sebagainya kerana aktiviti tersebut berkemungkinan melibatkan aktiviti lain yang tidak selaras dengan Syariah.

Sekuriti patuh Syariah ini termasuk saham biasa, waran dan hak langganan boleh pindah (TSR). Ini bermakna waran dan TSR diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah dengan syarat saham pendasar kedua-duanya merupakan sekuriti patuh Syariah. Walau bagaimanapun, stok pinjaman dan bon ialah sekuriti tidak patuh Syariah melainkan terbitannya berpandukan prinsip Syariah.

*Untuk Maklumat Lanjut boleh layari website Suruhanjaya Sekuriti Malaysia*

2 comments:

Unknown said...

Saya Yusof,saya nak tahu dimanakah saya boleh buat aduan jika ada masaalah (untuk mendapatkan modal balik)scamer atau penipuan yang banyak terdapat dipasaran Sekarang ini.jawapan boleh terus me email saya yusofijon233@gmail.com

Unknown said...

Saya Yusof,saya nak tahu dimanakah saya boleh buat aduan jika ada masaalah (untuk mendapatkan modal balik)scamer atau penipuan yang banyak terdapat dipasaran Sekarang ini.jawapan boleh terus ke emel sy nor8525@yahoo.com

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...